Isnin, 14 September 2015

KAEDAH PENGAJARAN

Ada dua perkataan yang hampir-hampir sama maksudnya dengan kaedah dan ia memang tergolong dalam kaedah juga, iaituteknik dan pendekatan.  Mok Soon Seng (1992) mengatakan pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran.  Iaitu cara bagaimana suatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya.  Jadi ia merupakan satu set teori yang sistematik. Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mecapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek.  Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992).  Manakala teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolan dan pelaksanaan  kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah.  Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik.  Sekiranya seorang guru Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz Al-Qur`an dengan mendengar bacaan dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik.



            Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur.  Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan.  Jadi, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah.  Melihat kepada misal-misal yang diutarakan oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1986), Mok Soon Seng (1992), Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1995), Atan Long (1980) dan Mahfudh Salahuddin (1987),  nampaknya yang dikatakan kaedah itu ialah yang ada nama, seperti kaedah kuliah, demonstrasi, Socrates, simulasi, inquiri penemuan, Forebel dan sebagainya.

            Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang.  Padanya, kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah, iaitu satu jalan untuk mencapai obektif pengajaran.

            Demikian juga dengan Hasan Langgulung  (1981) mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan.  Jadi apa sahaja cara tiandakan dan aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran maka itu   adalah kaedah, walau pun ia tidak mempunyai nama-nama khas, seperti yang dibawa oleh Sharifah Alwiah, Atan Long (1981) dan lain-lain. 

            Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua   pelajar  dalam semua keadaan.  Kaedah harus berubah  mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar.  Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan pelajar.  

            Al-Kailany (1986) menyenarai sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah:
          1.  kaedah mestilah secucuk dengan tujuan dan matlamat pelajaran
2.  kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang
               hendak dicapai

3.  kaedah juga haruslah sesuai dang tabiat (nature) pelajaran 
               yang diajar

4.  kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar
5.  kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru
6.  mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah
               bekenaan

7.  kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan kemudahan yan ada.


         An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar  yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar.  Dengan cara ini pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama.  Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.

            Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai.  Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas.  Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Congelosi (1992) mencadangkan bahawa setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:
          1.  Tujuan am (learning goal)
2.  Objektif pelajar (specific objective)
3.  Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktivit
               tertentu untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran

          4.  Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar

          5.  Penilaian (sumative evaluation) untuk mengukur
               pencapaian pelajar


Kata Cangelosi (1992):
Learning goal is the overall purpose of the teaching unit.  It indicates what students are expected to learn.
Specific objective, define the learning goal.  That is a number of specific skills, abilities, and/or attitude that the student to/or must acquire. (ms. 24)
            Perrott (1986) menerangkan semua aktiviti itu dalam tiga istilah yang lebih mendasar, iaitu:
           Planning
           Implementation
           Evaluation

           Tiga perkara ini dan juga langkah-langkah yang dikemukakan sebelum ini merupakan asas pengajaran yang berkesan, di sampiang pengetahuan yang patut ada pada guru.  Langkah-langkah ini disusun demikian rupa untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran sesuatu yang menarik dan berkesan.  Ini yang dikatakan pengajaran yang berkesan (effective teaching).  Pengajaran dan pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat diwujudkan jika tidak memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di atas.  Guru yang mampu menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini ialah guru yang didikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar dengan penuh semangat untuk mencapai objektif yang terancang dengan langkah-langkah yang tersusun dengan menggunakan BBM yang menarik dan dengan pergerakannya yang cukup lincah.  Inilah dia guru yang efektif (effective teacher).
             “…effective teacher is one who is able to demonstrate the 

             ability to bring about intended learning goals”.  Parrott (1986:5)


             Oleh itu, guru haruslah merancang dengan cukup rapi sebelum memasuki kelas.  Ini termasuklah strategi pengajaran yang merangkumi isi kandungan, objektif yang hendak dicapai, pendekatan, kaedah dan teknik penyampaian, BBM yang sesuai dan penilaian yang akan dijalankan. Satu yang perlu diingatkan ialah tentang  pendidikan Islam atau penerapan nilai Islam.  Ini juga harus dirancang dengan saksama.  Iaitu  apa yang hendak dipesan kepada pelajar, apa nasihat yang akan diberi, apa nilai yang hendak ditonjokan supaya pelajar ikut dan contohi dan sebagainya.  Guru harus sedar bahawa mata pelajaran Pendidikan Islam bukan sahaja untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi seorang Islam yang beramal dengan ajaran Islam dengan cara yang betul. 

Jadi, penekanannnya ialah penghayatan Islam, bukannya peperiksaan.  Kalau guru mengajar terlalu terikat dengan orientasi peperiksaan, guru hanya berjaya menyampaikan ilmu Islam, tetapi gagal memberi pendidikan Islam, iaitu gagal mendidik anak-anak untuk menjadi orang Islam bagi memikul tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah.

Demikian juga dengan istilah guru berkesan (effective teacher).  Ia bukan sahaja memberi kesan dalam bidang pelajaran yang diajar, mudah faham dan diminati oleh pelajar, tetapi yang boleh menjadi contoh kepada pelajar dari segala aspek personaliti, kerana personaliti guru mempengaruhi sikap pelajar (Huitt, 1994).  Ini termasuklah gaya bercakap, kekemasan berpakaian, penghayatan nilai Islam, penjagaan masa pengajaran (engagement time), ketepatan masa dalam setiap perjanjian, keadilan dalam layanan dan sebagainya.  Ini semua mencerminkan guru muslim (Al-Ghazali, 1988; Al-Ibrashy, 1976).

Rujukan
 Abu Saleh, Muhibuddin Ahmad (1988).  Asasiyat fi turuq at-tadris 

      al-`ammah. Riyadh: Dar Al-Huda.

 Al-Kailany, Taisir dan Iyad, Mulhim (1986). At-Taujih al-fanny fi 

      usul at-tarbiyah wat-tadris. Beirut: Maktabah Lubnan.

 An-Nashmy, Ajil Jasim (1980). Ma`alim fit-tarbiyahKuweit: 

      Makatabah Al-Manar.

 Atan Long (1981). Kaedah am mengajarKuala Lumpur: Fajar Bakti.
 Azman Wan Chik (1987).  Kaedah hayati amali. Kuala Lumpur: 

       Karya Bistari.

 Cangelosi, James S.(1992). Systematic teaching strategy. New York:

       Longman.

 Hasan Langgulung (1981).  Beberapa tinjauan dalam pendidikan Islam.

       Kuala Lumpur: Pustaka Antara,.

 Mahfuzdh Shalahuddin (1987). Metodologi Pendidikan Islam. Surabaya:

       Bina Ilmu.

Mok Soon Seng (1992). Pedagogi 2: Strategi pengajaran pembelajaran

       mikro.  Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.

 Parrot, Elizabeth (1986). Effective teaching. London & New York:
       Longman, 7th ed.

 Rashidi Azizan dan Abdul Razak Habib (1995). Pengajaran dalam bilik

       darjah, kaedah & strategi. Kajang: Masa Enterprise.

 Sharifah Alwiah Alsagoff (1986). Ilmu pendidikan: pedagogi. Kuala

       Lumpur: Heinemann, ctk. 4.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan